Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 24 Disember. - Sekolah-sekolah Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) pada tahun ini menunjukkan potensi dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah yang positif dan pencapaian akademik yang sangat baik di bawah pimpinan guru-guru besar dan kewibawaan guru-guru sekolah masing-masing.
Pada perjumpaan Jawatankuasa Tertinggi (JKTT) PGGMB bersama guru-guru besar dan kepimpinan sekolah hari ini telah membincangkan pelbagai strategi dan usaha bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan sekolah pada tahun 2026.
Hadir dalam perjumpaan ini ialah Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri; Timbalan Yang Dipertua PGGMB, Pengiran Haji Hamzah bin Pengiran Haji Mohammad; Pengerusi Tetap PGGMB, Dayang Hajah Hanipah binti Haji Apong; Setiausaha Agung PGGMB, Awang Yakub bin Haji Abd Rahman, Jawatankuasa Tadbir, Unit Kira-Kira PGGMB, Guru-Guru Besar Sekolah, guru-guru kanan dan kerani sekolah-sekolah.
Perjumpaan mendengarkan ucapan daripada Yang Dipertua PGGMB, taklimat daripada Pengerusi Tetap PGGMB, Setiausaha Agung PGGMB dan sesi soal jawab dari guru-guru besar sekolah.
Perjumpaan tersebut berjaya menghasilkan perbincangan yang sangat positif dalam usaha berterusan meningkatkan kejayaan sekolah, kecemerlangan para murid dan kesejahteraan para guru dan kakitangan sekolah bagi tahun 2026 nanti.